"Tindakan Yang Tepat"..| 'Guru Yang Enggan Vaksin Tidak Boleh Ajar Bersemuka'

KUALA LUMPUR – Langkah Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tidak membenarkan guru yang enggan menerima vaksin COVID-19 mengajar secara bersemuka, disifatkan tepat bagi menjamin keselamatan dan kesihatan pelajar.


Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata keputusan itu demi memastikan pelajar selesa mengikuti pembelajaran di kelas, mengelakkan risiko jangkitan COVID-19 dan menyakinkan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah.

“Bagaimanapun, usaha memujuk dan memberikan motivasi berhubung kepentingan serta keberkesanan vaksin perlu dijalankan berterusan supaya mereka bersedia menerima suntikan ini.

“Sekiranya mereka (guru) ini menolak atas faktor kesihatan, kaedah mengajar dan tugasan sesuai harus dirangka KPM bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) antara guru serta pelajar berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi Getaran, di sini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Dr Radzi Jidin memaklumkan, KPM menetapkan bahawa guru yang enggan menerima vaksin COVID-19 tidak dibenarkan mengajar dan berinteraksi secara bersemuka dengan pelajar di sekolah apabila institusi pendidikan itu dibuka 3 Oktober depan.

Tindakan itu, katanya, diambil bagi memastikan ibu bapa yakin bahawa persekitaran sekolah selamat untuk anak masing-masing.

Radzi menjelaskan, walaupun tidak mengajar bersemuka dan mengendalikan PdP menerusi platform maya, golongan guru terbabit perlu melakukan tugasan di sekolah bagi memastikan mereka tetap melaksanakan tanggungjawab bersesuaian sebagai pendidik.

Mohd Azizee berkata, keputusan KPM itu tidak menjejaskan keseluruhan operasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka, memandangkan jumlah guru yang menolak pengambilan vaksin tidak ramai, iaitu kurang 10 peratus.

Katanya, jumlah guru sedia ada yang sudah divaksin mencukupi untuk menggantikan mana-mana guru kelas dan guru mata pelajaran yang tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka.

“Bagi guru kelas peperiksaan yang perlu mengajar secara bersemuka, seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), khidmat mereka boleh digantikan dengan guru dari kelas menengah rendah sudah divaksin kerana golongan itu juga memiliki kelayakan mengajar.

“Ditambah sesi pembukaan sekolah akan dibuat berfasa mengikut lokaliti dan kelas PdPR masih berterusan di kawasan mencatatkan kes tinggi, saya rasa tidak ada isu bakal tercetus, termasuk soal kekurangan guru untuk mengajar secara bersemuka,” katanya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang pula berkata, keputusan KPM itu dapat memastikan tidak wujud kluster COVID-19 di sekolah, malah memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa institusi berkenaan selamat beroperasi.

Jelasnya, beliau yakin KPM mempunyai perancangan terbaik untuk guru menolak vaksin melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap pelajar, sekolah dan pentadbir mengikut skop tugasan.

Pada masa sama, Aminuddin berkata, KPM harus mendekati dan mengadakan sesi pertemuan berterusan dengan golongan terbabit bagi memahami alasan di sebalik keputusan mereka menolak vaksin.

“Bukan semua tidak mahu vaksin ini kerana anti vaksin, ada antara mereka mengalami masalah kesihatan, seperti mengandung atau penyakit kronik yang membuatkan mereka menolak imunisasi terbabit.

“Kementerian ada tokoh berwibawa dan berkredibiliti untuk berhadapan serta berbincang dengan mereka yang menolak vaksin ini untuk mengetahui punca dan memberi hujah sahih bagi menolak alasan diberikan golongan berkenaan,” katanya.

Mengulas mengenai persepsi segelintir pihak yang menyifatkan keputusan KPM itu sebagai satu bentuk diskriminasi terhadap guru, Aminuddin berkata dakwaan itu tidak wajar dilemparkan.

“Keputusan KPM ini bukan diskriminasi tetapi untuk kepentingan pendidikan negara. NUTP sejak awal mahu semua guru divaksin bagi mengelakkan mereka berisiko menjadi pembawa jangkitan.

“Usaha KPM bukan untuk kepentingan peribadi sendiri, tetapi demi pendidikan negara supaya mengembalikan sekolah bersemuka dan membaik pulih apa-apa kekurangan ketika PdPR,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, berkata keputusan KPM itu umpama ‘khabar gembira’ kepada ibu bapa yang bimbang dengan keselamatan dan kesihatan anak mereka apabila ke sekolah kelak.

Beliau berkata, PIBGN sememangnya sejak awal menyokong pemberian vaksin COVID-19 kepada semua guru dan meminta usaha itu dilaksanakan segera.

Malah, katanya, PIBGN pernah mencadangkan supaya guru yang tidak melengkapkan dos vaksin tidak dibenarkan menjalankan PdP secara bersemuka bagi mengelakkan kluster sekolah, justeru pastinya persatuan itu menyokong penuh keputusan KPM.

“Tindakan tidak membenarkan guru tiada vaksin COVID-19 lengkap mengajar bersemuka adalah untuk mengelakkan penularan pandemik, memastikan virus ini tidak menjangkiti pelajar yang tiada vaksin dan meningkatkan jumlah kes,” katanya.

Mohamad Ali berkata, meskipun vaksinasi COVID-19 tidak diwajibkan kepada penduduk Malaysia, tetapi demi kepentingan kesihatan dan kehidupan komuniti, PIBGN mahu setiap individu di negara ini divaksin, termasuk kumpulan pendidikan.

“Kesihatan individu dan masyarakat adalah paling utama untuk diberikan perhatian.

“PIBGN berharap guru menolak vaksin ini diberikan bimbingan dan kaunseling untuk lebih memahami keperluannya,” katanya. – Getaran, 6 September 2021.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s