Juruteknik IT Didakwa Kerana Mengugut Sebar Gambar Bogel Seorang Kanak-Kanak

 

Kangar Perlis Mahkamah Majistret Kangar hari ini menjatuhi hukuman penjara tiga tahun ke atas seorang juruteknik IT selepas mengaku bersalah mengugut untuk menyebar gambar bogel kanak-kanak perempuan bawah umur di Jalan Kaki Bukit antara 19 hingga 24 September lalu.


Tertuduh, Razman Ramli, 36, yang berasal dari Kangar mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Musyiri Peet.


Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengugut untuk menyebarkan gambar bogel mangsa berusia 14 tahun itu menerusi panggilan video Whatsapp kira-kira jam 8 malam pada 19 September dan kira-kira jam 9.30 malam pada 24 September lalu.


Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah berkomunikasi secara seksual bersama kanak-kanak perempuan tersebut pada tarikh dan waktu yang sama.


Manakala pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memiliki bahan pornografi kanak-kanak dalam dua cakera keras yang disimpan di kawasan kebun getah dan hasil siasatan membawa kepada penemuan bahan tersebut pada 25 September kira-kira jam 10.30 pagi.


Tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 15(b), Seksyen 11(1)(a) dan Seksyen 10 Akta Seksual Kanak-kanak 2017.


Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya, Nor Shuhada Mohd Yatim manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Azira Aziz.


Nor Syuhada berkata pihaknya memohon satu hukuman berat kerana melibatkan kanak-kanak bawah umur sebagai pengajaran kepada masyarakat untuk tidak sewenang-wenangnya melakukan perbuatan sedemikian.


Peguam yang mewakili tertuduh meminta mahkamah meringankan hukuman tertuduh yang berpendapatan rendah yang menjadi tunjang keluarga selain mempunyai tanggungan isteri yang sarat mengandung 8 bulan serta seorang anak berusia 4 tahun.


Tertuduh juga menyesali perbuatan selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau.


Pada 2 Oktober lalu, mangsa membuat laporan polis berhubung ugutan penyebaran gambar bogel mangsa yang dikirim kepada tertuduh sebagai syarat menyertai pencarian model.


Tertuduh menawarkan mangsa peluang pekerjaan sebagai model pakaian pengantin dengan tawaran gaji sebanyak RM4,000 dan memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai seorang wanita dengan meminta mangsa mengirim gambar bogel untuk memastikan kanak-kanak itu masih dara.


Tertuduh yang ditahan pada 21 Oktober itu dipercayai aktif melakukan perbuatan itu sejak 2009.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s