Farid Ismeth Emir Menderita Sakit Paru-Paru Sebelum Meninggal Dunia

 

Berita sedih diterima buat kakitangan atau seluruh warga RTM apabila penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) iaitu Farit Ismeth Emir meninggal dunia akibat kanser paru-paru di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor.


Pengurus kepada DJ Fuzz iaitu Mia ketika dihubungi turut mengesahkan bapa penyanyi rap itu menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 11 pagi Isnin.


Menerusi laman Facebook pembaca berita RTM, Rozimah Mahyiddin, dia juga berkongsi berita sedih itu dan mendoakan agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

” Dengan dukacitanya, saya ingin memaklumkan bahawa rakan seperjuangan kita Icon RTM, Pak Ngah atau Farit Ismeth Emir telah menghembuskan nafas terakhirnya baru sebentar tadi di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor.


” Al- Fatihah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan tergolong di kalangan orang yang beriman. Aamiin,” tulisnya.

Farid Ismeth Emir, 66, merupakan penyampai berita veteran di RTM yang mengendalikan segmen Berita Dunia Jam 10 sejak tahun 1990-an.


Antara kelainan ketika Allahyarham menyampaikan berita apabila beliau turut menyelitkan mutiara kata sebelum segmen itu berakhir.


Suara Allahyarham juga pernah digunakan untuk sebuah iklan rokok suatu masa dahulu iaitu ‘Gaya Mutu Keunggulan’ dan kerana itu juga dia digelar ‘Man with golden voice”


Antara rakan penyampai berita seangkatan Allahyarham ialah Salasiah Zakaria, Harjit Singh Hullon dan Mary Anne.


Sekilas info tentang Farid Ismeth Emir


Lahir pada 26 Oktober 1953, beliau berasal dari Teluk Intan Perak dan merupakan anak sulung dari tiga orang adik-beradik.


Beliau berkahwin dan dikurniakan 7 orang anak. Anak beliau, Farzwa De-Attahir Emir atau DJ Fuzz ialah seorang DJ, pemuzik dan komposer.



Berdasarkan profil anaknya DJ Fuzz di Wikipedia, dinyatakan bahawa nama ayahnya adalah Farid Ismeth Emir dan ibunya Noor Ashikin Othman, seorang pensyarah universiti dan pakar pemakanan.


Dunia Jam 10 (DJ10) ialah sebuah rancangan yang menyampaikan berita-berita dari luar negara. Ia disiarkan oleh saluran TV1 (atau RTM1) dalam tahun-tahun 1980-an hingga 1990-an.


Waktu siaran DJ10 seperti mana nama rancangannya ialah pada pukul 10.00 malam.


Rancangan yang terkenal pada suatu ketika dahulu itu sudah agak lama dihentikan siarannya dan telah diganti dengan rancangan lain yang berformat serupa iaitu Berita Dunia yang disiarkan pada pukul 11.00 malam di saluran yang sama.


Selain Harjit Singh Hullon, penyampai berita DJ10 yang terkenal sejak 1980-an ialah Farit Ismeth Emir.


Rupanya pernah kerja di hotel sebagai…



Beliau pernah berkata pada tahun 1986 negara dilanda kemelesetan ekonomi sehingga menyebabkan beliau menganggur sehingga 5 ke 6 bulan tanpa pekerjaan.


Sebelum bekerja sebagai penyampai berita, Farit pernah bekerja dalam industri perhotelan selama 13 tahun, di mana tempat kerja pertamanya ialah di Hotel Jaya Puri pada 1970-an.


Pengalamannya yang lama dalam industri perhotelan membolehkan Farit memegang jawatan yang tinggi seperti Penolong Pengurus di Hotel Regent, Kuala Lumpur, dan kemudiannya menjadi Infront Office Manager di Hotel Hilton, Petaling Jaya.


Pada 1987, dalam usianya 33 tahun, Farit telah mengambil keputusan yang berisiko tinggi dengan meninggalkan jawatan selesanya dalam industri perhotelan untuk menceburi bidang “suara komersil”.


Farit mendapat dorongan yang kuat daripada individu yang terkenal dalam bidang tersebut iaitu saudara Ali Abdul Rahman dan Patrick Teo yang menyatakan bahawa dia “ada suara”.


Pergi ujibakat pembaca berita


Selepas menjalani uji suara di stesen penyiaran RTM pada Ogos 1987, dan kemudiannya menghadiri kursus lanjutan, Farit dan seorang lagi calon, Hajah Haslinda Hamzah, akhirnya berjaya terpilih untuk menjadi penyampai berita RTM.


Semasa di awal pembabitannya dalam bidang penyampaian berita, Farit yang terkenal dengan “gaya suaranya yang keInggerisan dan keAraban” turut menyampaikan berita RTM pada waktu tengahari (Sabtu & Ahad) selain daripada menjadi penyampai berita DJ10.


Selain daripada itu, Farit turut bekerja memasukkan suara untuk iklan-iklan komersil, dan mungkin tidak ramai yang mengingati bahawa Farit juga pernah berlakon dalam drama radio terbitan RTM yang berjudul Nombor 5 Persiaran 1 dengan membawakan watak doktor.


Sehingga umurnya menginjak 60an, beliau masih dapat dilihat menyampaikan Berita Dunia dalam gayanya dan kelas yang tersendiri.


Hari ini, Farit Ismeth Emir yang berusia 66 tahun telah pergi bertemu sang Pencipta Rabbul Jalil. Semoga diampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman dan beramal soleh.


Koleksi Mutiara Kata Yang Boleh Dihayati Bersama


1. Ada masanya senyuman dapat menyelesaikan banyak masalah. Namun berdiam diri dapat menjauhi masalah juga.


2. Ada orang hanya pandai bercakap. Dan ada orang hanya pandai bekerja. Oleh itu tidak semua orang,  tidak semua orang pandai bercakap, pandai juga bekerja. 


3. Amatlah besar dosa seseorang yang menghebahkan apa sahaja yang didengarnya tentang keburukan orang lain. Oleh itu jangan diamalkan. 


4. Anda tidak perlu berhasrat menjadi wira, kerana wira dilahirkan dari semangat bukannya dari mimpi. 24 Ogos 2016.


5. Apa sahaja yang anda lakukan, buruk ke baik ke. Bagi orang lain, akan sentiasa ada ruang untuk mencerca anda. 


6. Apabila anda ditimpa musibah, bersabarlah. Tuhan sengaja menguji kesabaran anda yang pasti ada ganjarannya jika anda bersabar.

7. Apalah erti tahun baru, jika tanpa semangat baru. 


8. Bukanlah kesabaran namanya kalau masih mempunyai ukuran. Dan bukanlah keiklhlasan namanya kalau masih mahukan balasan. 


9 Demi sebuah kejayaan yang berkekalan, anda bukan hanya perlukan bakat atau kemampuan menyelesaikan masalah. Tetapi yang paling penting adalah disiplin yang tinggi.


10. Doa dan ikhtiar adalah satu pakej. Kalau setakat berdoa sahaja tanpa ikhtiar tidak akan merubah nasib anda. 28 September 2016


11. Gunakan waktu anda semaksima mungkin. Maka di hari tua, anda tidak akan mengatakan “seandainya aku masih muda” 23 september 2016.


12. Hidup kita akan terasam manis, jika kita fikirkan sedemikian… Ia menjadi pahit, jika kita fikirkan pahit.

13. Ikan di laut, asam di darat. Dalam kuali bertemu juga. Sedarkah anda ikan dan asam sebaik-baiknya jangan diketemukan kerana pertemuan mereka hanyalah untuk kehancuran. 

14. Jangan hina permulaan seseorang, kerana kita tidak tahu, pengakhirannya. 

15. Jangan kesal kalau anda tersesat jalan, sekurang-kurangnya anda menemui tempat baru atau jalan baru dalam pengembaraan anda.

16l Jika seseorang mahu bersama anda, tidak ada yang dapat menghentikan mereka kerana cinta tidak akan mencipta alasan.

17. Kalau anda gagal dalam pendidikan di sekolah, tidak seharusnya menjadi punca kegagalan hidup anda kerana kehidupan selepas era persekolahan membuka lebih banyak peluang untuk “suksess” 17 Ogos 2016.


18. Kebanyakan orang mencari kebahagiaan di luar dirinya. Ini adalah satu kesalahan besar kerana kebahagian sejati ada dalam diri kita. 23 Oktober 2016.


19. Kerisauan tidak akan membawa pergi masalah hari esok, tetapi ia akan melenyapkan kedamaian hari ini.


20. Lebih baik menjadi pendengar yang bijak daripada menjadi pemerhati yang tidak tahu apa-apa.


21. Menegur jangan sampai menghina. Mendidik jangan sampai mengherdik. Meminta jangan sampai memaksa. Memberi jangan sampai mengungkit. Biarlah terus kita menjadi permata tetap  bersinar walau terselindung dalam debu. 21 Oktober 2016.


22. Orang yang benar-benar tahu menggunakan akal fikiran, dapat memikirkan akibat daripada setiap tindakannya. Bukan sekadar memikirkan cara bertindak. 17 September 2016.


23. Orang yang kerjanya mengumpul harta sepanjang hayat kerana takut miskin, maka itulah sebenarnya miskin. 


24. Orang yang sombong, bagaikan orang yang berdiri di puncak gunung. Dia melihat orang lain kecil. Sebaliknya orang lain juga melihat dia kecil. 


25. Tiada jalan singkat untuk tiba ke destinasi, meskipun dekat. Setiap perjalanan mesti melibatkan langkah demi langkah. 


26. Tidak perlu menjelaskan siapa diri anda kepada orang yang tidak suka anda, dan tidak perlu memberi keyakinan kepada orang yang tidak mempercayai anda. Yang penting jelas dan yakinlah dengan diri anda sendiri.


Al-fatihah 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s