'Al-Fatihah Arwah Saleem 4 Tahun Pemergian, Hati Sucinya Yang Tidak Pernah Salahkan Iklim..'

Iklim sebuah kumpulan tercipta secara rasmi pada 1990 yang menyanyikan lagu Rock dan Slow Rock. Memang lagu-lagu Iklim ketika itu menjadi siulan orang dengan lagu yang popular seperti “suci dalam debu”.


Ahli kumpulan Iklim terawal, Saleem (Vokalis), Umarul (guitar elektrik), Mohalim (guitar bass), Fadhil (guitar kedua), Kama (drum). (1985-1990)


Tapi yang kekal hingga kini tahun 2022 adalah Kama, Mohalim, Umarul, Saleem (meninggal dunia), Fadhil (meninggal dunia). Ahli baru Azmani (vokal ganti sejak 1996) dan Huzali (papan nada sejak 1994). 


Cuma ada beberapa tahun Saleem dikeluarkan kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan digam oleh kerajaan, ketika itu muncul la pengganti vokalis seperti Azmani, Khir Rahman, dan vokalis undangan Faizal AF, Aris Ariwatan, J.Yantzen, Mus May dan Joey BPR. 


Iklim 1990


“Hati Suci Saleem Tidak Pernah Salahkan Iklim Sebaliknya Menyalahkan Dirinya Kerana Masalah Disiplin



Saleem dilahirkan pada 31 Ogos 1961 di Permaisuri Setiu Terengganu, berdarah kacukan India Muslim dan Melayu sebelah ibu. 


Pada tahun 1994, Saleem telah digam daripada keluar di kaca TV untuk membuat persembahan akhir muzik-muzik TV3 oleh kerajaan kerana penyalahgunaan dadah. Ketika itu para peminat tak sabar menunggu lagu ‘Bukan Aku Tak Cinta’ dari Saleem sendiri di pentas akhir, ramai jangkakan lagu itu akan menang namun takdir Allah lebih dahului. 


Seorang penyanyi wanita bernama Adilla telah diberi kepercayaan untuk menyampaikan lagu tersebut tapi malang sekali tidak membawa sebarang kejayaan. Saleem ada menegur sedikit kenapa Adilla menukar lagu ‘Bukan Aku Tak Cinta’ daripada sentimental balada kepada irama keroncong, tapi apakan daya nasi telah menjadi bubur.


Tidak terhenti di situ, tahun berikutnya iaitu tahun 1995 Iklim terus mendapat sambutan hangat, masa tu lagu ‘Di Pintu Mahligai’ merupakan lagu top sehingga ia sering berkumandang di corong-corong radio mahupun televisyen.


“Zaman Kejatuhan, Kemalangan, Akur Masalah Diri Sendiri

Zaman kejatuhan IKLIM dan Saleem dipercayai terjadi pada pertengahan dekad 1990-an (1996) selepas isu kemalangan jalan raya yang melibatkan nyawa seorang anggota tentera darat Malaysia. Sejak kemalangan tersebut, kehidupan Saleem bertukar menjadi tidak menentu ditambah lagi dengan masalah penagihan dadah yang menambahkan lagi kesulitan untuk mempertahankan populariti kumpulan tersebut dan imej baik di mata masyarakat. Lama-kelamaan Saleem dan kumpulan IKLIM terpaksa berpecah. Perpecahan tersebut dipercayai akibat masalah disiplin yang menimpa diri Saleem. Penyanyi tersebut kerap membatalkan segala temu janji di saat akhir dan lewat hadir ke pertunjukan gemilang yang diundang. Akibatnya, kumpulan tersebut telah disenaraihitamkan oleh pihak penganjur kerana tidak mahu reputasi mereka terjejas yang kelak pasti menanggung kos kerugian. Bagi membolehkan IKLIM terus bernafas di persada seni tanahair, Saleem telah disingkirkan daripada IKLIM. Tujuan penyingkiran Saleem adalah untuk mengelakkan kumpulan IKLIM daripada terus mengalami reputasi buruk, sekaligus ditegah dan diharamkan daripada membuat sebarang pertunjukan. Tetapi malangnya, penyingkiran tersebut tidak dapat mengembalikan kegemilangan IKLIM seperti pada awal 90an dulu.


Menurut seorang penganalisis dan pemikir seni budaya tanahair secara sambilan, Fahrul Hakim Ayob(33), jika dilihat dari sudut akademik, Saleem tidak pernah menyalahkan sesiapa terhadap penyingkiran tersebut dan mengakui bahawa segala masalah adalah berpunca daripada diri beliau sendiri. Oleh yang demikian, dalam hal ini, beliau (Saleem) pasrah. Menurutnya lagi, Saleem menganggap bahawa perpecahan tersebut merupakan suatu takdir. Sudah pasti ia memberi “satu kesan abadi” ke atas diri Saleem baik dari sudut positif mahupun negatif. Memang tidak dapat dinafikan bahawa Saleem berasa sungguh terkilan dengan penyingkiran tersebut. Walau bagaimanapun Saleem tetap tabah dan berfikiran positif. Beliau beranggapan bahawa “Rezeki adalah di tangan tuhan”.


Pada akhir tahun 1996, Penyanyi bersuara emas dan serak-serak basah ini telah ditangkap di Jalan Chow Kit/Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur akibat pengambilan dadah yang berlebihan. Berita tergempar yang memalukan itu telah disiarkan dalam televisyen serta terpampang di dada akhbar-akhbar tempatan. Penangkapan tersebut menyebabkan Saleem dipenjara. Justeru itu, Segala lagu Saleem dan rakaman persembahannya telah digam oleh pihak kerajaan daripada disiarkan sehingga beliau dibebaskan kelak.


“Kebangkitan Semula


Fakta: Lagu hits adalah Suci Dalam Debu , Bukan Aku Tak CintaMimpi Yang PulangHakikat Sebuah Cinta dan Seribu Kali Sayang. Album Suci Dalam Debu terjual 1,000,000 unit di Indonesia dan mengangkat nama iklim sebagai kumpulan terkenal dan berjaya di negara jiran tetangga tersebut sehingga kini.

Setelah dibebaskan, Saleem ingin kembali aktif menyanyi walaupun imejnya telah tercemar dan popularitinya agak menurun. Namun begitu, beliau bernasib baik kerana masih diberi kepercayaan oleh Warner Music of Malaysia untuk merakamkan sebuah album nyanyian solo yang diberi judul “Maaf/Juwita” pada tahun 1998. Terdapat beberapa lagu dalam Album Juwita dirakamkan di Indonesia. Menurut sesetengah pendapat, album Juwita telah memberi nafas baru kepada Saleem. Album itu membuktikan bahawa beliau memang berpotensi menjadi seorang penyanyi solo yang berjaya. Tidak dapat dinafikan bahawa album Maaf/Juwita telah membuka satu dimensi baru ke atas diri beliau. Album tersebut telah berjaya mempertahankan namanya dalam industri muzik tanahair setelah sekian lama beliau lesu dan kurang bergiat dalam bidang seni. Album Maaf/Juwita bertemakan keinsafan dan mengharapkan jutaaan kemaafan daripada peminat kerana keterlanjurannya dengan najis dadah.


Konsep cover album tersebut memaparkan imej Saleem yang bermisai/berjambang sebagai seorang yang telah Insaf dan bertaqwa. Lagu Juwita adalah sebuah lagu syahdu sempena nama isteri pertamanya. Lagu tersebut dihadiahkan khas untuk isterinya, Juwita bagi mengenangkan jasa, berkat kesabaran dan jerih payah beliau dalam menangani liku-liku kehidupan bersama anak-anak yang semakin terhimpit ketika Saleem di dalam penjara. Pada tahun 1999, Lagu Juwita telah berjaya masuk ke pertandingan akhir Muzik Muzik terbitan TV3. Saleem secara solo mendendangkan lagu itu secara live di hadapan penonton. Tetapi nasib tidak menyebelahinya, Saleem gagal untuk memenangi sebarang anugerah di kejuaraan itu. Desas-desus mengatakan bahawa suara Saleem hampir tidak keluar dan tersekat-sekat ketika menyampaikan lagu tersebut.


Setelah kejayaan album Maaf/Juwita, Saleem telah diberi kesempatan untuk merakamkan beberapa album seperti Bunga Emas bersama bekas kumpulannya, IKLIM, Ratib Orang Pinggiran serta berpeluang berduet dengan Rahmat(Ekamatra), Jamal Abdillah dan Penggubah M. Nasir.


Di sini dapat diberi kesimpulan bahawa nama Saleem memang kental dan tetap megah dalam bidang seni nyanyian dan populariti beliau tidak terhakis di tengah-tengah kemunculan puluhan penyanyi muda yang mempunyai rupa, harta, bakat dan berpotensi besar seperti kumpulan KRU, Ruffedge, Kool, Slam, Innuendo, Juliana Banos, Siti Nurhaliza dan ratusan lagi bakat baru. Memang agak aneh, persaingan ini tidak sedikitpun melenyapkan namanya sebagai insan seni yang terunggul di tanahair.


Malang telah menimpa sekali lagi ke atas diri Saleem. Kali ini pada pertengahan tahun 2004, Saleem telah ditangkap buat kali kedua kerana dadah. Kali ini beliau telah disumbat ke dalam penjara Kajang. Menurut beberapa siri wawancara dengannya, penjara Kajang telah mengajar Saleem banyak erti kehidupan. Kali ini beliau kelihatan agak serik, letih dan tua. Diharapkan penangkapan ini benar-benar menginsafkan diri Saleem sehingga ke akhir hayatnya. Pada bulan Ogos tahun 2006 Saleem dan Jamal Abdillah dijemput oleh RTM1 untuk ditemuramah dalam slot program Isu Semasa berkenaan dengan penglibatan dirinya dengan najis dadah.


Saleem tetap terunggul dan namanya tetap utuh dalam bidang seni suara. Dengan segala potensi, bakat semulajadi dan nilai komersil yang masih ada pada dirinya, Rock Record dan Warner Music of Malaysia bersama dengan saudara Syed Azlan Syed Abu Bakar (Arab) sebagai wakil daripada syarikat tersebut telah berjumpa dengan Saleem dan memberi peluang kedua (sejak 1993) kepadanya untuk pembikinan sebuah lagi album baru. Kali ini album tersebut adalah kompilasi lagu-lagunya dahulu daripada kumpulan IKLIM. Judul Album beliau pada ketika itu adalah ‘Saleem Raja Balada’. Album beliau kali ini tetap berjaya dan mendapat sambutan hangat daripada peminat. Anugerah platinum telah diberikan kepada album ini dengan jumlah pembelian mencapai beberapa puluhan ribu unit.


Berperisa, Unik, merdu, serak-serak basah, parau dan ‘agak sengau’ itulah kelebihan suara Saleem yang membuatnya terus diminati oleh peminat-peminatnya. Album terkini beliau iaitu Epigoni (2006) telah mencatat jualan yang membanggakan dan memenangi anugerah Emas kerana penjualan telah mencecah lebih daripada 15 ribu unit sejak tiga minggu berada di pasaran. Konsep album beliau pada kali ini adalah remake lagu-lagu lama dendangan Amy-Search, Shima, Bumiputra Rocker, Allahyarham Sudirman, Wings dan lain2 lagi.


Sebelum kematian arwah Saleem, Saleem sempat duduk di bawah naungan Perbadanan Penyiaran Astro iaitu sebuah stesen TV bersatelit pertama di Malaysia yang berpengkalan di Seri Kembangan Serdang. Sejak di bawah naungan Perbadanan Penyiaran Astro Saleem telah beberapa kali diberi peluang untuk memenuhi undangan bagi memeriahkan lagi industri muzik tanahair dengan menjadikan isterinya sebagai pengurus peribadi.


“Saleem Meninggal Dunia


Saleem dimasukkan ke Hospital Univerisiti Kebangsaan Malaysia akibat kemalangan motosikal yang dialaminya 28 September 2018, beliau mengalami kecederaan pada bahagian tulang rusuk sehingga beliau dalam keadaan koma. Akhirnya arwah Saleem menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.15 pagi. Perkara itu disahkan menerusi anaknya Iera Fakhira, arwah Saleem selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10 Cheras Kuala Lumpur selepas solat zohor.



Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s